KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang dikesan leka menjalankan aktiviti menangkap ikan secara menyalahi syarat lesen di perairan Tanjung Karang dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan tersebut dilakukan sekitar pukul 2.30 petang dan 3.30 petang oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Selangor.
Semasa rondaan, kapal Maritim mengesan dua vesel berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 17.9 dan 18.2 batu nautika barat daya barat daya Tanjung Karang ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel tahanan pertama dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak, manakala vesel kedua pula dikendalikan seorang tekong bersama tiga awak-awak.
“Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia berumur antara 36 hingga 53 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Abdul Muhaimin, pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua vesel berkenaan telah melanggar syarat sah lesen apabila menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter (mm) selain kegagalan kru mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel tersebut.
Kesemua kru bersama dua vesel dan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 150 kilogram telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat-kuasa. – MalaysiaGazette
















