Rosman Nordin.

KUALA LUMPUR – Usaha menyatukan orang Melayu akan menjadi amat sukar malah hampir mustahil sekiranya kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berterusan menghukum ketua-ketua bahagian dan ahli Parlimen daripada parti itu.

Ketua Bersatu Bahagian Bukit Bintang, Rosman Nordin berkata, dalam keadaan orang Melayu berdepan tekanan ekonomi, perpecahan politik dan cabaran masa depan negara ketika ini, tindakan disiplin yang dilihat selektif dan berterusan hanya akan melemahkan Bersatu bukan menguatkan parti.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya kepimpinan Bersatu kembali menjadikan parti tersebut sebagai wadah penyatuan, bukan medan pembersihan dalaman.

“Perbezaan pandangan bukan pengkhianatan, dan kesetiaan tidak boleh diukur melalui ketakutan atau hukuman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipecat keahliannya daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, tindakan tersebut diambil kerana Saifuddin didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Saifuddin menjadi MPT kedua yang dipecat selepas tindakan sama dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada Oktober tahun lalu.

Selain mereka, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung keahlian selama satu penggal.

Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Kesemua mereka dikaitkan dengan kenyataan yang menjurus kepada desakan supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast