KUALA LUMPUR – Implikasinya bukan kecil jika Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh benar-benar melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, Akmal mungkin tokoh muda yang kontroversi, tetapi dia juga simbol kepada suara lantang generasi muda UMNO.
“Jika Akmal Saleh berundur dari jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, UMNO berisiko kehilangan satu lagi jambatan penting kepada pengundi muda dan akar umbi yang sedang bergelut mencari keyakinan terhadap parti.
“Dalam suasana sokongan yang sudah rapuh, kehilangan suara seorang tokoh Pemuda yang berani bersuara boleh menyebabkan UMNO kehilangan lebih banyak sokongan orang-orang muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Beliau mengulas tulisan Akmal di Facebook yang memberi bayangan sudah memikirkan untuk melepaskan jawatan utama dalam sayap parti tersebut.

Oleh itu, katanya, UMNO perlu berhati-hati mengurus perbezaan pendapat dengan matang jauh lebih penting daripada memenangi hujah dalaman.
Tegas beliau, parti yang gagal mendengar suara anak muda selalunya akan dibalas dengan senyap di peti undi.
Azizi akui gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan janggal apabila ia dibuat oleh Akmal yang masih memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Namun, katanya, jika keluar kerajaan dianggap jalan bermaruah, logiknya teladan perlu ditunjukkan terlebih dahulu oleh Akmal sendiri.
Selagi jawatan itu tidak dilepaskan, gesaan keluar Kerajaan Perpaduan mudah dilihat sebagai hanya retorik semata-mata.
Namun, ujarnya, adalah tidak wajar gesaan yang disuarakan oleh Akmal itu dibidas dengan ungkapan dan bahasa yang keterlaluan.
Ia kerana, perbezaan pandangan dalam parti sepatutnya diraikan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalaman, bukan dijadikan alasan untuk dibalas dengan serangan peribadi.
Lagipun, sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Akmal memikul amanah dan tanggungjawab untuk menyuarakan denyut nadi akar umbi, khususnya Pemuda UMNO.
“Apa yang disampaikan Akmal Saleh, sama ada dipersetujui atau tidak, lahir daripada keresahan dan emosi penyokong muda yang mahukan hala tuju parti lebih jelas dan berprinsip. Menutup atau memperlekeh suara ini hanya akan membesarkan jurang antara kepimpinan dan akar umbi,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















