KUALA LUMPUR – Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Bersatu hanya satu lagi episod yang mendedahkan krisis kepimpinan dan ketidakstabilan dalaman parti tersebut, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong.
Wakil rakyat PKR itu mendakwa, episod baharu dalam krisis pembangkang itu adalah rentetan kepada budaya politik lompat parti dan oportunisme kuasa yang dinormalisasikan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sendiri.
“Hakikatnya, Bersatu kini bukan sahaja berdepan krisis kepercayaan dalam gabungan PN malah sedang bergelut dengan krisis dalaman parti yang semakin meruncing oleh pertelingkahan, pemecatan dan perebutan kuasa sesama sendiri,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama beliau berkata, Kerajaan Madani terus stabil dan kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, Kerajaan Madani tidak terperangkap dalam drama politik sempit, sebaliknya terus melangkah ke hadapan merencana dan melaksanakan dasar serta program yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan memacu pemulihan serta reformasi negara.
“Perbezaannya jelas, satu pihak tenggelam dalam krisis dalaman, satu pihak lagi fokus mentadbir dan membela kepentingan rakyat,” katanya.
Semalam, Bersatu mengumumkan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat parti yang diadakan semalam, menurut sepucuk surat Lembaga Displin Bersatu bertarikh hari ini dan dialamatkan kepada Saifuddin sendiri.
“Pihak Lembaga Displin telah bersidang pada 5 Januari dan telah memutuskan Datuk Seri dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai surat ini dikeluarkan.
“Ini kerana tindakan Datuk Seri telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembangaan Parti,” kata surat berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















