Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengumumkan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat parti yang diadakan semalam, menurut sepucuk surat Lembaga Displin Bersatu bertarikh hari ini dan dialamatkan kepada Saifuddin sendiri.

“Pihak Lembaga Displin telah bersidang pada 5 Januari dan telah memutuskan Datuk Seri dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai surat ini dikeluarkan.

“Ini kerana tindakan Datuk Seri telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembangaan Parti,” kata surat berkenaan.

Surat pemecatan itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

November tahun lalu, Saifuddin dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Proses siasatan bersama Lembaga Disiplin itu diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Sebelum itu, Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025.

Pertengahan Oktober tahun lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast