Khaliq Mehtab Mohd Ishaq. Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KEPALA BATAS –  Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa dibuat tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).

Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, keputusan pemecatan itu jelas bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Parti kerana dibuat tanpa melalui persidangan LD.

“Pemecatan tanpa persidangan LD bukan isu teknikal kecil, sebaliknya melibatkan keabsahan keputusan yang dibuat.

“Saya menyatakan dengan tegas bahawa pemecatan tanpa persidangan LD adalah bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Parti. Ini bukan isu teknikal kecil, ini isu keabsahan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khaliq Mehtab menegaskan beliau tidak mempertahankan mana-mana individu sebaliknya menegakkan perlembagaan, proses dan integriti parti.

“Saya tidak mempertahankan individu. Saya mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti. Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila kecacatan proses itu didakwa cuba ditutup dengan naratif disiplin dan ketegasan parti.

“Lebih mendukacitakan apabila kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif ‘disiplin’, ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘ketegasan parti’, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara.

“Keadilan bukan hanya terletak pada keputusan, tetapi juga pada proses yang dilalui. Tanpa proses, keputusan itu rapuh, mudah dicabar dan memalukan parti sendiri.

“Malah, jika seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi boleh dipecat tanpa persidangan LD, perkara sama boleh berlaku kepada mana-mana ahli lain pada masa hadapan,” katanya.

Tambah Khaliq Mehtab, Bersatu tidak akan menjadi parti yang dihormati sekiranya gagal mematuhi perlembagaannya sendiri.

“Tiada siapa lebih besar daripada perlembagaan termasuk mereka yang memegang kuasa,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam masa terdekat susulan pemecatan beliau daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengesahkan pemecatan itu selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast