KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan Perikatan Nasional (PN) kini sedang buntu untuk menamakan calon pengerusinya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, sekiranya PN menamakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang maka gabungan parti politik itu perlu membayar harga mahal pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ini kerana, katanya, populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kalangan pengundi Melayu jauh lebih tinggi dan lebih konsisten sejak beliau menjadi Perdana Menteri.
Malah di dalam PN, sosok yang paling mudah ‘dijual’ sebagai calon Perdana Menteri untuk mendapatkan undi teras Melayu adalah Muhyiddin.
“Dalam PasS sendiri pun sudah mula timbul beberapa nama, Hadi, Sanusi dan ada juga Hamzahm tetapi isu sebenar bukan soal siapa namanya.
“Isu sebenar ialah PN perlu memilih pengerusi dan jawatan penting melalui majlis pimpinan yang diwakili semua parti.
“Masalahnya, bila Pas bawa calon, Bersatu tidak setuju. Bila Bersatu pula bawa calon, Pas tidak setuju. Akhirnya semua jadi tersekat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Tambah Rafizi, disebabkan kebuntuan itu, maka timbul kemungkinan UMNO kembali membangkitkan berkenaan Muafakat Nasional (MN) kerana semua pihak sedang mencari susunan yang kelihatan kuat.
Namun sekiranya keputusan dibuat berdasarkan emosi dan ego, akhirnya undi yang bocor ialah undi blok sendiri.
“Jadi kalau Pas buat keputusan ikut emosi untuk ganti Muhyiddin, PN akan hilang beberapa mata peratus. Lepas itu kalau mereka patah balik dan akui Muhyiddin masih yang terbaik, Muhyiddin dapat moral victory dan Pas yang kena gelak.
“Mereka gali lubang dan jatuh dalam lubang sendiri,” katanya.
Sehingga kini, PN masih belum menamakan pengganti jawatan pengerusi gabungan politik itu selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pas yang sebelum ini menyatakan kesediaan memimpin PN juga masih berteka-teki berhubung calon yang akan ditampilkan meskipun beberapa nama disebut-sebut antaranya naib presiden yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, pelantikan nama-nama yang dicadangkan itu bakal mencetuskan polemik baharu memandangkan jawatan Pengerusi kebiasaannya disandang oleh Presiden parti gabungan politik di dalam PN. – MalaysiaGazette
















