Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

KUALA LUMPUR – Perbahasan sama ada UMNO perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Madani bukan soal melawan Presiden atau menjatuhkan kerajaan tetapi adalah soal strategi kelangsungan UMNO.

Exco Pemuda UMNO, Aizat Azam berkata, ada masa berada di dalam kerajaan memberi kelebihan dan ada masa berada di luar kerajaan memberi ruang membina semula kekuatan dan keyakinan rakyat.

Namun, tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, apa yang paling berbahaya ialah kekal di dalam kerajaan tetapi hilang identiti, hilang suara dan hilang kepercayaan orang Melayu.

Menurut beliau, Pemuda UMNO tidak berniat merosakkan parti sebaliknya hanya menyuarakan apa yang dirasai di bawah atau akar umbi.

“Jika kita terus menafikan sentimen orang Melayu, isu `UMDAP’ dan kos politik yang ditanggung, kita sebenarnya sedang menipu diri sendiri.

“Separuh penggal telah berlalu. Masa untuk berani menilai sudah tiba. Dalam politik, keberanian membuat keputusan lebih penting daripada keselesaan menangguhkan keputusan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, menurut Aizat, Pemuda UMNO menghormati keputusan dan pendirian kepimpinan tertinggi berkenaan hala tuju parti itu dalam Kerajaan Madani.

Namun tanggungjawab Pemuda UMNO bukan sekadar mengikut tetapi membantu parti dengan penilaian jujur tentang realiti di lapangan.

Sehubungan itu, tambahnya, kajian separuh penggal bukan untuk melawan keputusan, tetapi untuk memastikan keputusan yang dibuat berpaksikan fakta, sentimen akar umbi dan kelangsungan UMNO.

“Setelah lebih separuh penggal Parlimen ke-15, sudah sampai masanya UMNO, khususnya Pemuda UMNO, bercakap secara jujur dan berani mengenai kedudukan parti dalam Kerajaan Madani.

“Ini bukan soal emosi atau dendam politik. Ini soal kelangsungan UMNO dan kepercayaan orang Melayu,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Aizat turut menyenaraikan kajian separuh penggal parti UMNO dalam Kerajaan Madani yang disifatkan `audit politik’ antaranya sama ada UMNO mempunyai kuasa atau sekadar pelengkap kepada kerajaan hari ini.

Selain itu, adalah berkenaan isu `UMDAP’ yang mana orang Melayu didakwa melihat UMNO lebih banyak mengalah daripada memimpin.

Turut dibangkitkan adalah berkenaan sokongan orang Melayu terhadap UMNO sama ada sudah kembali atau semakin menjauh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast