Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

MELAKA – Polis mengesahkan kematian seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di bilik air rumahnya di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini semalam bukan berpunca daripada renjatan elektrik atau perbuatan jenayah.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu emosi keluarga.

Menurutnya, punca kematian kes yang disedari jam 11.30 pagi semalam juga masih belum diketahui sehingga mendapat keputusan kimia hasil laporan bedah siasat.

“Hasil siasatan juga mendapati tiada kesan renjatan elektrik atau unsur jenayah bagi kes ini kecuali terdapat calar kecil berukuran 1.5 sentimeter di bahagian rusuk kiri mangsa.

“Kesan itu berkemungkinan akibat terkena hentakan pada bucu singki atau mangkuk tandas ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan juga mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah ketika kejadian selepas bapanya yang berusia 50 tahun keluar bersama isterinya dan seorang lagi anak lelaki mereka.

“Ketika kejadian, hanya mangsa berada di dalam rumah sebelum keluarganya menemukan mangsa tidak sedarkan diri di dalam bilik air yang berkunci dari dalam.

“Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih menunggu keputusan bedah siasat dan analisis makmal yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka,” katanya.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sebaik tiba di rumah, ibu mangsa ada terdengar bunyi percikan air dari bilik air namun mendapati pintu berkunci dari dalam sambil memanggil anaknya beberapa kali.

Mangsa bagaimanapun tidak memberi sebarang respons sehingga bapanya terpaksa memecahkan pintu bilik air sebelum mendapati remaja itu berada dalam keadaan terlentang.

Pihak keluarga kemudian menghubungi talian kecemasan 999 dan mangsa dikejarkan ambulans ke Hospital Melaka sebelum pelajar itu disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 12.17 tengah hari. – MalaysiaGazette

 

Remaja 13 tahun ditemukan meninggal dunia dalam bilik air di Batu Berendam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast