Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan memperkenalkan Mahkamah Buruh Bergerak melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta yang akan dilaksanakan, bermula Ogos tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, sebagai permulaan, sebanyak tiga unit mahkamah buruh bergerak akan diwujudkan di Semenanjung Malaysia.

“Ini adalah satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang, jadi orang ramai tak payah pergi ke mahkamah. Sebaliknya mahkamah (buruh) akan datang kepada mereka.

“Kita peruntukan sebanyak RM5 juta melibatkan tiga unit di Semenanjung Malaysia yang bermula selepas Ogos tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bergambar bersama kakitangan JTKSM selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

Terdahulu Ramanan melakukan lawatan kerja dan menerima taklimat di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan; Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi dan Timbalan Ketua Pengarah JTKSM (Operasi), Betty Hasan.

Mahkamah Buruh Bergerak merupakan inisiatif kerajaan untuk membawa perkhidmatan keadilan buruh lebih dekat kepada rakyat, terutamanya pekerja di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Kenderaan diubah suai menjadi bilik bicara mudah alih, termasuk bilik saksi mesra kanak-kanak dan kemudahan bicara lengkap, sebahagian daripada perluasan perkhidmatan Mahkamah Bergerak seperti diumumkan dalam Bajet 2026.

Selain itu, kata Ramanan, walaupun permerkasaan mahkamah buruh melalui sistem perekodan digital bukan perkara baharu, namun ia adalah ‘game changer’.

“Ia sudah bermula 2024 di mana kita sudah mempunyai dua unit, 10 unit lagi pada 2025 dan kini berjumlah 12 unit.

“Sekarang kita buat penambahan sebab kita lihat sistem perekaman digital ini memang berjaya dan ia menyenangkan proses,” katanya.

Beliau berkata, KESUMA akan menambah enam lagi mahkamah buruh di Semenanjung Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.

“Jadi 2026 kita tambah lagi enam unit, antaranya ialah Ipoh, Perak; Alor Setar, Kedah; Muar, Johor; Rawang, Selangor; Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

“Ia akan mempercepatkan prosiding, perbincangan dan meningkatkan ketulusan lebih daripada itu,” katanya.

Katanya lagi, KESUMA akan memperkenalkan Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB).

“Ia masih lagi dalam peringkat pembangunan tetapi ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Ai) dengan peruntukan RM9.25 juta.

“Ia mungkin akan ambil masa selama dua tahun dan dijangka siap pada 2028,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast