KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan menyifatkan gimik keluar Kerajaan Perpaduan yang dimainkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai bahan lawak politik yang memalukan diri sendiri.
DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, ia selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Sehubungan itu, ujarnya, sekiranya Dr. Muhamad Akmal benar-benar berprinsip maka beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Exco dalam Kerajaan Negeri Melaka serta-merta.
“Akmal Saleh harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar Kerajaan Perpaduan. Jangan cakap tidak serupa bikin.
“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kenyataan Ahmad Zahid yang `tidak mahu dipatuk ular sama kali kedua’ telah menutup ruang spekulasi rundingan UMNO dan Pas.
Dakwanya, tafsiran songsang Dr. Muhamad Akmal kononnya Presiden UMNO bersetuju dengan kerjasama penyatuan orang Melayu juga jelas merupakan cubaan mengelirukan rakyat dan tidak menghormati pendirian parti sendiri.
“DAPSY ingin mengingatkan bahawa pengalaman tahun 2020–2022 jelas menunjukkan ‘penyatuan’ bersama antara UMNO-Pas-Bersatu telah membawa ketidakstabilan dan kerugian kerusi kepada UMNO sendiri.
“Sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanyalah mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti sendiri,” katanya.
Sementara itu, DAPSY Kebangsaan menegaskan fokus utama kini adalah untuk memacu pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan reformasi.
Ujarnya, rakyat tidak berminat dengan drama perebutan kuasa dan hanya perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal.
Ia antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO kelmarin iaitu cadangan Dr Muhamad Akmal pada Sabtu lalu, untuk parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.
Ahmad Zahid berkata, tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat berkenaan berhubung saranan Pemuda UMNO itu. – MalaysiaGazette
















