PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pihaknya tidak akan bersandar kepada spekulasi atau sumber tidak rasmi dalam menangani dakwaan kewujudan satu gerakan kultus berbahaya yang dipercayai berasal dari Korea Selatan.
Sehubungan itu, beliau dijadualkan menerima taklimat penuh daripada pasukan Cawangan Khas E2 (Unit Perisikan Sosial) minggu ini bagi mendapatkan gambaran sebenar serta tahap ancaman gerakan tersebut terhadap keselamatan dan keharmonian negara.
“Saya dijadualkan minggu ini untuk ditaklimatkan oleh Cawangan Khas E2. Saya lebih berhati-hati dan cermat dalam perkara ini. Saya tidak mahu memetik sumber yang pelbagai,” katanya pada sidang media sempena Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Seri Endon hari ini.
Saifuddin Nasution menegaskan, hanya pasukan Cawangan Khas mempunyai autoriti mutlak untuk menjalankan risikan, mengesahkan maklumat serta menentukan kesahihan dakwaan melibatkan sebarang ajaran sesat atau gerakan ekstrem merentas agama.
“Yang paling berautoriti adalah Cawangan Khas di mana kerja hakiki mereka adalah mengesan sebarang salah laku dan ajaran sesat semua agama.
“Saya akan kongsi maklumat itu bila dah dapat,” katanya lagi.
Menurut beliau, KDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya hasil risikan mengesahkan kewujudan unsur penyelewengan, manipulasi kepercayaan atau ancaman keselamatan awam.
Semalam, Saifuddin Nasution menjelaskan kementerian masih mengumpulkan maklumat lengkap dan terkini berhubung gerakan berkenaan bagi mengelakkan sebarang tindakan bersifat reaktif atau tidak berasas.
Bulan lalu, KDN mengesahkan terdapat kegiatan serta penglibatan tokoh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan kultus terbabit yang kini berada dalam radar pemantauan pasukan keselamatan negara.
Pendedahan itu tercetus susulan satu hantaran di Facebook oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa beberapa ahli Parlimen dan individu berpengaruh dilihat aktif membantu serta melindungi gerakan kultus berkenaan.
Mufti Perlis itu turut memaklumkan satu taklimat berkaitan isu berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sebagai asas kepada penilaian dan tindakan lanjut pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















