KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas dinilai akan berdepan cabaran lebih getir pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) benar-benar berlaku.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, masalah akan timbul khususnya dari segi pembahagian kerusi untuk ditandingi kedua-dua parti itu pada PRU-16.
Ini kerana, kata Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkenaan, kedua-dua parti tersebut mempunyai kekuatan di tempat sama iaitu segmen pengundi Melayu, sekali gus mudah terdedah kepada konflik jika tidak diurus dengan baik.
Jelasnya, situasi akan menjadi lebih rumit sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) turut menyertai gabungan politik MN seperti yang diharap-harapkan banyak pihak supaya parti berteraskan Melayu bersatu.
Tambahnya, keadaan itu akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-16 khususnya dari sudut sokongan solid pengundi Cina, susulan kerjasama UMNO dan Pas sekiranya MN berjaya dihidupkan semula.

Selain itu, kata beliau, PH juga akan kembali menguasai segmen bandar dan segmen bercampur seperti pada PRU-14 dan PRU-15 lalu.
“Dengan kerjasama dalam kerajaan dan dalam PRN lepas, parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dijangka akan terus berkolaborasi dengan PH dalam PRU-16.
“Dengan kedudukan dan kekuatan semasa serta disokong sebagai kerajaan negeri, GRS berpotensi memenangi banyak kerusi di Sabah nanti.
“Di Sarawak pula, parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengikat kesetiaan mereka dengan mana-mana gabungan lain, sebaliknya akan membuat pertimbangan mengikut situasi,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya PH boleh mengekalkan prestasi dalam PRU-15 lepas atau hanya defisit beberapa kerusi, manakala GRS mengumpul kerusi berganda di Sabah serta GPS kekal dengan prestasi semasa di Sarawak, gabungan tersebut berupaya mencapai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Pusat pada PRU-16.
Jelasnya, kelebihan gabungan PH; GRS dan GPS juga dilihat lebih senang untuk diurus (manageable), serta tidak terdedah terhadap risiko konflik yang serius.
Dalam masa sama, ujarnya, DAP pula akan memberi tumpuan di kawasan segmen bukan Melayu di bandar; PKR di kawasan bercampur dan Parti Amanah Negara (Amanah) di kawasan Melayu.
“Berbanding kerjasama UMNO dan Pas jika betul-betul berlaku menerusi MN, gabungan itu sebenarnya agak mencabar berbanding gabungan diketuai PH pada PRU-16,” katanya. – MalaysiaGazette
















