KUALA LUMPUR – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diagihkan lebih awal mulai tahun depan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Jelasnya, keputusan itu susulan rungutan ibu bapa yang sebelum ini hanya menerima BAP pada minggu pertama sesi persekolahan.
“Kebetulan tahun ini sesi persekolahan bermula pada Januari, jadi ada sedikit rungutan yang diterima. Mulai tahun hadapan, kita akan perbaiki supaya BAP diberikan lebih awal dan persiapan ibu bapa boleh dilakukan dengan selesa,” jelasnya.
BAP merupakan bantuan tunai sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Fadhlina menegaskan KPM sentiasa komited memastikan setiap langkah, sama ada berkaitan sistem peperiksaan atau bantuan kewangan, diambil secara telus dan berasaskan kepentingan murid.
Selain itu, beliau turut menyentuh isu jangkaan kenaikan tambang bas sekolah yang katanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Keputusan mengenai UPSR, PT3, BAP atau isu bas sekolah akan dibuat berdasarkan fakta dan kepentingan murid. Kita tidak mahu membuat perubahan hanya berdasarkan desakan luar tanpa analisis menyeluruh,” tambahnya. -MalaysiaGazette















