JOHOR BAHRU – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS‑SEZ) perlu menjadi platform memberi manfaat kepada rakyat bukan sekadar penyedia tanah serta tenaga kerja murah dengan menguntungkan pelabur luar.
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, di atas kertas, Johor kelihatan sebagai penerima utama pelaburan kerana RM17.2 bilion telah diluluskan dalam JS‑SEZ sepanjang tahun lalu.
Jumlah berkenaan, katanya, dikumpul hanya dalam tempoh lima bulan selepas pelancaran rasmi zon tersebut.
“Namun 61 peratus daripada pelaburan ini adalah asing, majoritinya dari Singapura dan China dengan tumpuan kepada sektor hartanah, logistik, teknologi dan pelancongan.
“Kerajaan turut mengumumkan pelbagai kemudahan khas seperti pas sempadan korporat, sistem QR passport‑free clearance serta gaji premium RM3,500 untuk pekerja tempatan.
“Persoalan besar tetap timbul, adakah rakyat Johor benar‑benar mendapat manfaat daripada pelaburan berbilion ringgit ini atau sekadar menjadi penyedia tanah dan tenaga kerja murah,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainuddin berkata, realiti di lapangan menunjukkan kos sara hidup meningkat mendadak.
Katanya, nilai transaksi hartanah di Iskandar Malaysia melonjak kepada RM25.9 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024 iaitu meningkat 36 peratus berbanding 2023 yang didorong permintaan tinggi pembeli asing.
“Trend ini berterusan pada 2025 di peringkat nasional dengan RM107.68 bilion transaksi separuh pertama iaitu meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun (YoY) dan RM64.39 bilion pada suku ketiga (meningkat 12.5 peratus YoY).
“Akibatnya, harga rumah teres dua tingkat kini mencecah RM600,000 ke atas manakala sewa kediaman dan premis perniagaan melonjak, menekan keluarga muda dan usahawan kecil. MB Johor sendiri mengakui kos hidup meningkat akibat pelaksanaan JS‑SEZ.
“Walaupun purata gaji di JS‑SEZ pada tahun 2025 bermula sekitar RM3,500 sebulan untuk pekerja tempatan dalam sektor berkemahiran tinggi dengan beberapa syarikat menawarkan sehingga RM5,000 bagi jawatan khusus, angka ini sebenarnya adalah hasil persetujuan pelabur asing dan kerajaan Johor untuk menetapkan premium salaries,” ujarnya.
Namun disebabkan tiada dasar rasmi gaji minimum ekspatriat ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), amalan pasaran menunjukkan syarikat lazimnya menawarkan RM5,000 hingga RM10,000 untuk tenaga kerja asing berkemahiran.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan ramai majikan lebih cenderung memilih ekspatriat yang dianggap lebih industry‑ready berdasarkan amalan pasaran dan persepsi industri.
Akibatnya peluang latihan untuk anak tempatan masih terhad dan wujud risiko lambakan pekerja asing di Johor.
Kerajaan katanya, telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk latihan pekerja mahir, tetapi hanya 3,500 peserta berjaya lulus (2024 hingga 2025) berbanding sasaran 25,000 pekerja.
“Jurang kurikulum universiti turut menjadi masalah kerana masih berorientasi teori dan kurang menawarkan pensijilan industri antarabangsa seperti AWS Cloud, Cisco, ACCA, Lean Six Sigma dan lain‑lain.
“Pejuang Johor mencadangkan perkara ini perlu menjadi inisiatif bersama-sama antara kerajaan, pihak industri dan universiti,” katanya.
Menurutnya, pensijilan industri bukan sahaja penting untuk memenuhi keperluan syarikat besar di JS‑SEZ, tetapi memberi manfaat kepada mereka yang bekerja dalam rangkaian pembekal kepada industri tersebut.
Dengan cara ini kata Zainuddin, seluruh ekosistem ekonomi Johor dapat ditingkatkan bukan sekadar syarikat utama tetapi juga vendor, kontraktor dan penyedia perkhidmatan sokongan.
Justeru Pejuang Johor menggesa kerajaan menetapkan dasar rasmi gaji minimum ekspatriat sekurang‑kurangnya RM10,000.
Beliau berpendapat, langkah itu akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar, menutup ruang alasan pelabur untuk terus menggunakan pekerja asing dan memaksa syarikat melatih serta menggaji rakyat tempatan.
Selain itu, Pejuang Johor mencadangkan kuota dan tempoh visa ekspatriat yang bukan jawatan utama perlu diperketatkan, dengan had masa yang jelas supaya pemindahan teknologi kepada pekerja tempatan berlaku lebih cepat dan berkesan.
Cadangan itu bukan sesuatu yang baharu kerana pada era 1980-an dan 1990-an, Malaysia pernah berjaya melaksanakan strategi serupa apabila ramai pekerja tempatan dihantar ke Jepun, Amerika dan Eropah untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang perindustrian.
Hasilnya menurut beliau, daya saing pekerja Malaysia meningkat, gaji mereka bertambah baik, ekonomi keluarga diperbaiki dan ekonomi negara dirancakkan.
Sejarah itu membuktikan dasar pemindahan teknologi dan peningkatan gaji mampu membawa manfaat besar kepada rakyat jika dilaksanakan dengan tegas, katanya.
“Kita tidak mahu pelabur hanya mengaut keuntungan dengan insentif kerajaan seperti infrastruktur moden dan cukai rendah, tetapi gagal membawa manfaat kepada rakyat Johor.
“Kemajuan mesti adil. Jika JS‑SEZ hanya menguntungkan pelabur dan menaikkan kos hidup rakyat, itu lebih kepada retorik politik dan penindasan ekonomi,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















