KUALA LUMPUR – Arahan supaya Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mengkaji, meneliti dan memberikan syor sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dikembalikan disifatkan sebagai satu keputusan berani.
Malah pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sifat keterbukaan sebegitu menunjukkan kesediaan Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar suara masyarakat terbanyak.
Selain itu, beliau turut menyifatkan arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya para guru diberikan peluang untuk membuat penilaian prestasi terhadap ketua mereka di sekolah bermula tahun ini sebagai langkah yang cukup baik.
Jelas beliau, arahan itu membolehkan para pentadbir sekolah menerima penilaian prestasi dari guru-guru di bawah pentadbiran mereka.
“Di banyak institusi lain, termasuk di universiti amalan ini telah lama dilaksanakan. Ini sebenarnya meningkatkan peluang dan ruang kerjasama lebih mesra antara ketua dan kakitangan di bawah mereka.
“Malah di universiti, pensyarah juga dinilai oleh para pelajar di hujung semester. Dari situ, pensyarah akan berusaha meningkat kualiti pengajaran mereka pada setiap semester mendatang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Anuar berkata, beliau secara keseluruhannya gembira dengan ucapan dan komitmen Fadhlina menerusi KPM bagi tahun ini seperti yang disampaikan menerusi amanat tahun 2026 awal hari ini.
Ujarnya, ucapan Fadhlina itu benar-benar membumi tentang bagaimana untuk menjadikan ‘tahun ini tahun kita’ dalam menjayakan pendidikan negara.
Jelas beliau, ucapan Fadhlina juga memberi isyarat yang jelas untuk seluruh warga KPM supaya mula bekerja keras.
“Saya doakan semoga apa yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh KPM berjalan dengan lancar. Kita mahu anak-anak kita gembira dalam menguasai ilmu, bersahsiah tinggi dan berjati diri.
“Kita mahu guru-guru dalam persekitaran tempoh kerja yang baik dan sejahtera. Kita mahu sistem pendidikan negara kita ditingkatkan kualiti,” katanya. – MalaysiaGazette
















