KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menyelar Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh yang mempersoalkan mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersabit kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, adalah membimbangkan dan menimbulkan tanda tanya apabila pemimpin-pemimpin DAP mengambil sikap dwistandard atau terpilih dalam mentafsir kedaulatan undang-undang.
Katanya, apabila sesuatu keputusan mahkamah atau pendakwaan selari dengan naratif politik DAP, maka pemimpin-pemimpinnya dengan bangga menyebut ia sebagai `kedaulatan undang-undang’.
Namun, tambah beliau, sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka, maka institusi yang sama pula tiba-tiba dituduh sebagai meragukan, cacat atau dipengaruhi politik.
“Jika pemimpin DAP benar-benar mempercayai kedaulatan undang-undang, maka prinsip itu mesti diterapkan secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan pihak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ramkarpal yang juga bekas Timbalan Menteri Undang-Undang menggesa AGC menjelaskan keputusan tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 tuduhan jenayah yang sebelum ini dihadapi oleh Ahmad Zahid.
Dalam satu kenyataan, Ramkarpal langkah AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA tidak menyuntik keyakinan awam selain menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan serta proses membuat keputusan.
Terdahulu, AGC semalam mengumumkan bahawa mereka mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid susulan siasatan lanjut, sekali gus memuktamadkan kes berkait Yayasan Akalbudi yang telah lama berlarutan.
Sementara itu, Armand Azha turut mempersoalkan mengapa tiada bantahan serupa dibuat pemimpin DAP dalam kes melibatkan Ahli Parlimen mereka yang dikaitkan dengan jenayah rogol, serta dalam skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Sedangkan, ujarnya, kes-kes itu juga disifatkan sangat serius dan sikap berdiam diri pemimpin DAP menyerlahkan tindak-tanduk mereka yang dwistandard dalam membangkitkan berkenaan isu moral.
“Apabila bercakap tentang kedaulatan undang-undang, Ramkarpal patut bertanyakan diri sendiri adakah ia satu prinsip, atau sekadar senjata politik yang digunakan hanya apabila sesuai?
“Kedaulatan undang-undang mesti dihormati pada setiap masa, bukan hanya apabila ia selari dengan kepentingan politik seseorang,” katanya. – MalaysiaGazette
















