PUTRAJAYA – Seramai 1,053 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah dipindahkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di 22 pintu masuk sejak 1 Oktober 2025.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, ia melibatkan pindahan butiran waran penjawatan pegawai AKPS sekaligus berdepan cabaran peralihan sumber manusia kepada jabatan tersebut.
“Walaupun berdepan kekurangan pegawai, JKDM kekal berupaya mengekalkan prestasi pungutan hasil yang memberangsangkan melalui pengoptimuman proses kerja, penstrukturan operasi dan penggunaan teknologi secara strategik.
“Seiring dengan pendekatan pengoptimuman itu, pelaksanaan agenda pendigitalan, termasuk penggunaan sistem MyCIEDS di seluruh negara sepanjang tahun 2025 telah memperkukuh pengurusan risiko, pemantauan pematuhan serta analisis data perdagangan.
“Pendekatan ini membolehkan proses kerja dilaksanakan secara lebih cekap, bersepadu dan berasaskan risiko,” katanya dalam sidang media Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, di sini, hari ini.
Tambah beliau, dalam konteks sama, JKDM turut mengaplikasikan pendekatan bersepadu yang menggabungkan kecerdasan manusia (Human Intelligence – HI) dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan serta keberkesanan pelaksanaan tugas di lapangan.
“Pendekatan ini membolehkan keputusan operasi dibuat berasaskan data dan risiko di samping memanfaatkan pengalaman serta penilaian profesional pegawai Kastam.
“Pendekatan berteraskan teknologi ini seterusnya diperkukuh melalui pembangunan keupayaan insan, antaranya menerusi pelaksanaan inisiatif Neuro-Linguistic Programming (NLP).
“Sepanjang tahun 2025, program ini telah dilaksanakan di seluruh negara dengan penglibatan seramai 65 orang pegawai daripada pelbagai gred,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, JKDM telah memperoleh sebanyak 134 unit mesin pengimbas moden berteknologi kecerdasan buatan bagi meningkatkan keberkesanan pemeriksaan.
“Penguatkuasaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang diperkukuh melalui pemeriksaan 100 peratus dagangan import dan eksport bermula 15 November 2023.
“JKDM turut melaksanakan pusingan kerja 100 peratus bagi pegawai layak pada 2025, melebihi syarat minimum ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam,” ujarnya.
Tegasnya, pendekatan itu bukan sahaja ingin memperkukuhkan kecekapan operasi dan pengurusan sumber manusia malah berperanan mengurangkan risiko berkaitan intergriti serta tadbir urus, selain menyokong pembangunan modal insan yang mampan. – MalaysiaGazette
















