JOHOR BAHRU – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Pasir Gudang di sini, Disember lalu.
Saniah Osman, 55, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara pukul 7.30 malam, 29 Disember lalu hingga 1.30 pagi, 30 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan DNA.- MalaysiaGazette
















