Oleh: Intan Syazlina Mohd Ali
DALAM masyarakat kita, perempuan yang cekal, berdikari dan sentiasa “boleh buat semua” sering dijadikan contoh. Mereka dipuji kerana mampu mengurus kerjaya, keluarga, emosi dan tanggungjawab sosial tanpa banyak keluhan. Dalam perbualan seharian, ayat seperti “kau ni memang kuat” atau “perempuan macam inilah patut dicontohi” sering dilontarkan dengan niat yang baik. Namun, jarang kita sedar pujian inilah yang secara senyap membina tekanan paling besar dalam hidup seorang perempuan perfectionist.
Perempuan perfectionist bukan sekadar mahu melakukan yang terbaik, tetapi merasakan mereka tidak dibenarkan untuk gagal. Kesilapan kecil dianggap cerminan kegagalan diri secara menyeluruh. Keletihan pula ditafsir sebagai kelemahan. Maka, mereka belajar menyembunyikan penat, menelan kecewa dan terus berfungsi seperti biasa, walaupun emosi semakin rapuh.
Fenomena ini tidak berlaku dalam ruang kosong. Sejak kecil, ramai perempuan dibesarkan dengan jangkaan untuk menjadi “baik” dan “tidak menyusahkan”. Prestasi diraikan, kepatuhan dipuji, tetapi emosi jarang diberi ruang. Tanpa disedari, terbentuk satu kepercayaan bahawa nilai diri bergantung kepada pencapaian dan kebolehan memenuhi harapan orang lain. Apabila dewasa, kepercayaan ini berubah menjadi beban yang dipikul sendirian.
Dalam dunia pekerjaan, perempuan perfectionist sering menjadi individu paling boleh diharap. Mereka datang awal, pulang lewat, dan memastikan tugasan diselesaikan dengan cemerlang. Namun, di sebalik dedikasi itu, wujud kebimbangan melampau untuk melakukan kesilapan dan ketakutan dilihat tidak kompeten. Mereka sukar berkata tidak, walaupun sudah keletihan, kerana bimbang dianggap gagal memenuhi jangkaan.
Dalam keluarga pula, mereka sering memikul peranan sebagai penyelesai masalah. Mereka menjadi tempat bergantung, pendengar setia dan penguat semangat untuk orang lain. Ironinya, apabila tiba giliran mereka memerlukan sokongan, mereka memilih untuk berdiam diri. Bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana tidak mahu membebankan sesiapa.
Apa yang membimbangkan, keretakan emosi perempuan perfectionist jarang kelihatan secara jelas. Mereka tidak semestinya menangis di hadapan orang atau menunjukkan tanda-tanda runtuh secara terbuka. Sebaliknya, ia muncul dalam bentuk keletihan kronik, gangguan tidur, keresahan berpanjangan, mudah tersinggung atau rasa kosong yang sukar dijelaskan. Ada yang terus berfungsi seperti biasa, sehinggalah tubuh dan emosi tidak lagi mampu bertahan.
Budaya masyarakat juga sering menyumbang kepada masalah ini. Kita memuji perempuan kerana “tabah”, tetapi jarang menyediakan ruang untuk mereka menjadi rapuh tanpa penghakiman. Kita mengagungkan kekuatan, tetapi mengabaikan keperluan rehat. Akhirnya, perempuan perfectionist terperangkap dalam kitaran yang melelahkan, terus membuktikan diri, walaupun diri sendiri sudah lama kehabisan tenaga.
Hakikatnya, kekuatan tidak seharusnya ditakrifkan sebagai kebolehan untuk menahan segalanya sendirian. Kekuatan juga bermakna keberanian untuk mengakui had, menetapkan sempadan dan meminta bantuan apabila perlu. Namun, untuk sampai ke tahap itu, perempuan perfectionist perlu melalui proses yang sukar, iaitu melepaskan kepercayaan bahawa mereka hanya layak dihargai apabila sempurna.
Masyarakat pula perlu memainkan peranan yang lebih empatik. Bertanya “awak okay?” seharusnya menjadi kebiasaan, bukan pengecualian. Memberi ruang untuk seseorang berehat tidak sepatutnya dilihat sebagai kelemahan, tetapi sebagai keperluan asas kesejahteraan mental. Kita juga perlu berhenti mengukur nilai seseorang berdasarkan produktiviti semata-mata.
Perempuan tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi bernilai. Mereka tidak perlu sentiasa kuat untuk layak difahami. Kadangkala, apa yang paling mereka perlukan bukan pujian atas ketabahan, tetapi kebenaran untuk berkata, “aku penat”, tanpa rasa bersalah. Kerana dalam diam, perempuan perfectionist bukan tidak kuat, mereka cuma terlalu lama dipaksa untuk kuat. Dan jika kita benar-benar mahu meraikan kekuatan perempuan, mulakan dengan memberi mereka ruang untuk menjadi manusia sepenuhnya.
Belajar melepaskan kesempurnaan bukan bererti menjadi cuai. Ia bererti memberi ruang untuk cukup. Cukup baik, cukup usaha, cukup hari ini. Ia bererti menetapkan sempadan tanpa rasa bersalah, berehat tanpa perlu alasan, dan meminta tolong tanpa rasa gagal. Ia juga bererti bercakap jujur kepada diri sendiri dan orang lain bahawa kuat bukan bermaksud
kebal.
Kepada perempuan yang selalu nampak kuat: tidak salah jika hari ini kau penat. Tidak salah jika kau perlukan pelukan, rehat, atau bantuan. Kau tidak perlu runtuh sepenuhnya untuk layak difahami. Dan kau tidak perlu sempurna untuk layak dicintai. Kadang-kadang, penyembuhan bermula bukan dengan menjadi lebih kuat, tetapi dengan berhenti berpura-pura kuat. Dan di situlah, perlahan-lahan, retak itu boleh sembuh bukan dengan paksaan, tetapi dengan kasih kepada diri sendiri.

Penulis dari Fakulti Undang-Undang
Universiti Teknologi MARA, 40450 Shah Alam, Selangor















