JOHOR BAHRU – Peruntukan RM25 juta sudah diluluskan untuk kerja-kerja awal pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) yang akan dimulakan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ia membabitkan kajian trafik, reka bentuk kejututeraan dan cadangan jajaran.
Beliau memberitahu, permulaan kerja-kerja awal tersebut sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahagian pantai timur Johor tidak mempunyai lebuh raya.
“Apabila saya naikkan hantaran berkenaan WCE (Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat), ramai yang memberi komen mengapa di sebelah pantai timur Johor tidak ada lebuh raya?
“Percayalah, kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Onn Hafiz Ghazi (Menteri Besar Johor) telah memiliki perancangan yang menyeluruh khususnya jaringan lebuh raya dan jalan raya seluruh Johor.
“LPT4 adalah cadangan dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) untuk dibina selepas tahun 2030.
“Namun, dengan mengambil kira pembangunan yang pesat di negeri ini dan tidak mahu wilayah pantai timur Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi ketinggalan, cadangan LPT4 ini diletakkan sebagai keutamaan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fazli, cadangan LPT4 meliputi jajaran sepanjang 142 kilometer (km) dari Ulu Tiram hingga ke Mersing dengan tujuan utama ialah pembangunan kawasan sekitar serta pelengkap kepada Lebuhraya Pantai Timur sedia ada yang menyambung ke Johor melalui Kuantan, Pahang.
Katanya, mengikut perancangan asal, projek terbabit akan merangkumi tiga jajaran utama iaitu Johor Bahru-Kota Tinggi sepanjang 30 km; Kota Tinggi-Mersing (80 km) dan Mersing-Endau (32 km).
“Libat urus antara kerajaan negeri bersama-sama Kementerian Kerja Raya berhubung pembinaan LPT4 ini dilakukan dan akan memberikan impak positif yang optimum bukan sahaja kepada pembangunan negeri Johor malah kemudahan serta keselasaan rakyat.
“Semoga segala usaha dalam perancangan ini dapat direalisasikan demi menjamin kesejahteraan bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















