KUALA LUMPUR – Siasatan awal mendapati seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral yang tular di dalam media sosial.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, TUDM akan memastikan individu terbabit dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam masa sama, beliau menegaskan budaya tidak sihat itu bukanlah suatu amalan di dalam TUDM.
“Pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap Perintah, Direktif dan Peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, tular di dalam media sosial beberapa gambar dan rakaman video yang mendakwa berlaku budaya tidak wajar dan perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera yang dirujuk sebagai budaya `Yeye’.
Sehubungan itu, ATM mengarahkan siasatan dalaman dijalankan segera.
Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan turut memaklumkan siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh. – MalaysiaGazette
















