Harimau kumbang yang berjaya ditangkap di di Bukit Bangkong, Ipoh, Perak. foto BERNAMA

IPOH – Seekor harimau kumbang jantan memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan Perak di Bukit Bangkong, di sini hari ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, mamalia berusia lingkungan tiga tahun dan seberat kira-kira 40 kilogram (kg) itu dipercayai memasuki perangkap yang dipasang sejak 9 Dis lepas, pada 4 pagi tadi.

“Dipercayai harimau kumbang ini cuba membaham anak lembu yang dijadikan umpan dalam perangkap yang kita pasang sejak sebulan lalu.

“Melalui pemeriksaan yang dibuat pegawai di lapangan, harimau berkenaan berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan dikesan pada mana-mana anggota badannya,” katanya.

Beliau berkata haiwan liar itu telah dibawa keluar dari lokasi berkenaan dan akan dilepaskan di habitat asal yang bersesuaian.

Pada 8 Dis lepas, penduduk Bukit Bangkong dibelenggu kebimbangan apabila dikejutkan dengan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang menyebabkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang.

Bertindak daripada aduan yang penduduk, Perhilitan Perak telah memasang sebuah perangkap dan dua kamera jejak bagi memastikan haiwan pemangsa berkenaan dapat diperangkap.

Yusoff berkata perangkap akan terus dipasang di lokasi sama memandangkan serangan terhadap haiwan ternakan itu dipercayai dilakukan oleh harimau belang berdasarkan kesan tapak kaki serta kelibat yang dirakam kamera jejak berdekatan lokasi perangkap dipasang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk sekitar Bukit Bangkong supaya berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti di lokasi tersebut lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Saya juga menasihatkan penternak di situ memindahkan saki-baki lembu yang dipercayai masih berkeliaran di situ,” katanya sambil menjelaskan kawasan tersebut masih ditutup untuk aktiviti riadah. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast