SHAH ALAM – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16 di sini menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula sistem peperiksaan negara melibatkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Yang Dipertuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, usaha untuk mengembalikan dua peperiksaan utama negara itu diharapkan dapat mengukur penguasaan ilmu para pelajar dengan lebih berkesan.
“Saya selaku YDP PIBG amat teruja dengan tindakan dan pendekatan yang diambil oleh pihak kementerian kerana memberi ruang dan kajian semula untuk kembalikan UPSR serta PT3.
“Kami mengharapkan langkah dan kajian ini memberi impak yang baik serta kesiapsiagaan para pelajar lebih fokus,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji semula sistem peperiksaan negara melibatkan UPSR dan PT3 susulan polemik dibangkitkan masyarakat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) akan mendapatkan pandangan pakar pendidikan serta meneliti laporan dan data berkaitan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Fadhlina berkata, laporan kaji selidik dan sebarang keputusan akan diserahkan kepada ahli Kabinet untuk diteliti. – MalaysiaGazette
















