Orang ramai menunggu untuk mendapatkan bekalan air semasa kekurangan air di kawasan kejiranan Araplar, daerah Mamaklar, Ankara pada 8 Januari 2026. foto AFP

ANKARA – Gangguan bekalan air yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini di ibu negara Türkiye berpunca daripada kemarau terburuk dalam tempoh 50 tahun serta pertambahan penduduk yang mendadak.

Paras air empangan telah merosot kepada 1.12 peratus, dan bekalan air paip ditutup selama beberapa jam sehari di beberapa daerah secara bergilir di Ankara, memaksa ramai penduduk beratur di pancutan air awam untuk mengisi bekas air.

“Tahun 2025 merupakan tahun rekod dari segi kemarau. Jumlah air yang membekalkan empangan jatuh ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 182 juta meter padu pada 2025, berbanding 400 hingga 600 juta meter padu pada tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah tempoh paling kering dalam 50 tahun,” kata Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Air Perbandaran Ankara, Memduh Akcay.

Bagaimanapun, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan mendakwa pihak berkuasa perbandaran Ankara, yang diterajui parti pembangkang utama, sebagai “tidak cekap”.

Menolak kritikan itu, dewan bandaraya berkata, Ankara sedang menanggung kesan perubahan iklim dan pertumbuhan penduduk, yang telah meningkat dua kali ganda sejak 1990-an kepada hampir enam juta orang.

“Selain pengurangan hujan, ketidakteraturan corak hujan, penurunan salji, serta penukaran hujan kepada aliran permukaan dengan cepat (akibat pembandaran) menghalang empangan daripada diisi semula dengan berkesan,” kata Akcay.

Dewan Bandaraya Ankara berkata, sistem pam baharu yang menarik air dari bawah paras minimum empangan akan memastikan tiada gangguan bekalan air pada hujung minggu ini, namun menegaskan masalah itu akan berterusan jika hujan yang turun tidak mencukupi.

Sebahagian besar Turkiye mengalami kemarau bersejarah pada 2025.

Perbandaran Izmir, bandar ketiga terbesar negara itu di Pantai Aegean, telah melaksanakan catuan air harian sejak musim panas lalu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast