KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menyokong titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung keputusan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar.
Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, ia merupakan kebimbangan Sultan Selangor mengenai kesan terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan keharmonian masyarakat yang amat berasas.
Menurutnya, ia juga merupakan manifestasi keprihatinan seorang Raja Berperlembagaan yang bukan sahaja sebagai ketua agama Islam negeri, tetapi pelindung kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, penjaga alam sekitar dan pembela kebajikan masyarakat.
“Isu pencemaran bau, pencemaran sungai serta gangguan kualiti hidup penduduk tempatan telah berlarutan lebih sedekad tanpa penyelesaian tuntas. Maka, tidak wajar dan tidak berhemah membenarkan operasi penternakan skala besar di kawasan sama.
“Penternakan babi secara kecil dan terkawal untuk keperluan tempatan kaum bukan Islam adalah difahami, namun perancangan berskala besar yang berorientasikan eksport dianggap tidak sensitif dan mencabar keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Mohamed Sukri menekankan kebimbangan Sultan Selangor terhadap kemungkinan wujudnya konflik kepentingan, ketirisan tadbir urus atau unsur rasuah dalam kelulusan projek itu.
Katanya, isu sebegini tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa, tertutup dan tanpa libat urus menyeluruh bersama rakyat setempat.
Beliau menyeru Kerajaan Selangor di bawah Datuk Seri Amiruddin Shari menjadikan titah Tuanku sebagai peringatan agar setiap dasar pembangunan berpaksikan amanah, ketelusan, dan keutamaan kebajikan rakyat.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesihatan awam, alam sekitar serta keharmonian antara kaum,” ujarnya.
Tambah beliau, Pemuda Pas Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara kesucian agama Islam dan memperjuangkan hak serta kesejahteraan rakyat Selangor dengan penuh hikmah dan berprinsip.
Menjunjung titah Tuanku, menurut Mohamed Sukri, bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab moral, politik dan agama. – MalaysiaGazette
Sultan Selangor tak setuju rancangan ternakan babi di Kuala Langat
















