Anggota penguatkuasa DBKL melakukan operasi di sekitar Segambut Dalam dan Manjalara semalam. Gambar: Ihsan FB DBKL.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas dikenakan terhadap beberapa premis perniagaan yang dikendalikan warga asing selepas dikesan membela, menyimpan serta menyembelih ayam dan itik hidup secara tidak terkawal di kawasan perniagaan sehingga menyebabkan bau busuk, persekitaran kotor dan risiko kesihatan awam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, menerusi operasi khas yang dijalankan di sekitar Segambut Dalam dan Bandar Manjalara semalam, pihaknya mendapati aktiviti pemprosesan haiwan hidup dilakukan tanpa kawalan sewajarnya, sekali gus mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Hasil pemeriksaan dan siasatan turut mendapati, beberapa premis termasuk kedai runcit, restoran makanan, gerai buah-buahan dan kedai barangan am beroperasi tanpa lesen sah, melanggar syarat lesen serta dikendalikan oleh bukan warganegara.

“Pengusaha premis turut gagal memastikan pekerja menerima suntikan tifoid dan mengikuti kursus pengendalian makanan, selain meletakkan bahan mentah serta makanan terus di atas lantai. Terdapat juga majikan yang tidak memperbaharui lesen perniagaan yang dikeluarkan DBKL.

“Susulan tindakan penguatkuasaan, sebanyak lima aktiviti perniagaan dikenakan lima notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan lapan notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Selain itu, satu notis kompaun dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu Notis Kacau Ganggu mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976,” kata DBKL dalam hantaran berkenaan di Facebook.

Dalam operasi sama, DBKL turut menyita dan memindahkan 111 haiwan hidup terdiri daripada 108 ekor ayam dan tiga ekor itik untuk dibawa ke Unit Kawalan Pest, Jabatan Kesihatan Alam Sekitar DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.

DBKL menegaskan, penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti bagi memastikan aspek kebersihan, kesihatan awam dan ketenteraman bandar sentiasa terpelihara.

Orang awam turut digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi DBKL. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast