Sebuah pusat pemuliharaan anjing liar yang dibina tanpa kelulusan di Kampung Orang Asli Sungai Klebang, Jempol telah ditutup sepenuhnya.

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat pemuliharaan anjing liar haram di Kampung Orang Asli Sungai Klebang, Jempol telah ditutup sepenuhnya susulan kebimbangan penduduk setempat berhubung isu keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, ia hasil tindakan bersepadu pelbagai agensi selepas mengambil kira suara serta hak masyarakat orang asli yang terkesan secara langsung dengan kewujudan fasiliti haram itu.

“Langkah ini turut menegaskan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan sebarang aktiviti di kawasan penempatan orang asli mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Zaidy mendedahkan cadangan pembinaan pusat perlindungan anjing terbiar di dalam rizab perkampungan Orang Asli Sungai Klebang, Jempol didakwa dibuat tanpa rundingan telus dan tiada persetujuan.

Sebuah pusat pemuliharaan anjing liar yang dibina tanpa kelulusan di Kampung Orang Asli Sungai Klebang, Jempol telah ditutup sepenuhnya.

Menurut Zaidy, pihaknya mendapat dokumen didakwa membabitkan perancangan awal serta komunikasi rasmi pihak tertentu, malah ia menerima bantahan daripada penduduk kampung terbabit.

Selain itu, kata Zaidy, tindakan perobohan itu dibuat setelah Pejabat Daerah dan Tanah Jempol mengesahkan pusat pemuliharaan anjing liar itu dibina di tanah rizab kerajaan tanpa mendapat kelulusan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat secara langsung atas kerjasama erat, tindakan tegas dan respons pantas dalam menangani isu berkenaan.

“Antaranya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Orang Asli Sungai Klebang; Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Jempol; Pejabat Daerah dan Tanah Jempol dan Polis Daerah Jempol.

“Tindakan ini diharapkan dapat mengembalikan ketenangan penduduk kampung serta menjadi peringatan jelas kepada semua pihak.

“Sebarang aktiviti pada masa hadapan perlu dilaksanakan melalui saluran sah dan mengikut peraturan yang berkuat kuasa, demi menjaga kepentingan bersama dan kelestarian komuniti Orang Asli,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast