KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah perkenan untuk terima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor pada Isnin ini bagi tujuan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung pengoperasian industri penternakan babi di Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dizahirkan melalui kenyataan media baginda berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat hari ini.
Menurutnya, MMKN terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.
Jelas Amirudin, keputusan ini diambil setelah mengambil kira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun.
Sultan Selangor tak setuju rancangan ternakan babi di Kuala Langat
Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan.
“Sebagaimana diperincikan oleh YB Dato’ Ir. Izham hashim, Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor melalui sidang media beliau pada 8 Januari 2026 yang lepas, langkah ini merupakan inisiatif yang lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh, serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar, di samping mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik.
“Sebagai makluman, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor telahpun diperkenan menghadap pada hari Isnin 12 Januari 2026 bagi tujuan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan MMKN ke bawah duli Tuanku Sultan termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Sultan Selangor dan mendoakan Tuanku terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini dengan penuh hikmah. – MalaysiaGazette

















wahai MB gunakan lah logik akal kamu dan sensitiviti masyarakat Islam yang kamu pimpin. Sekurang kurangnya Sultan yang berjiwa rakyat telah menegur….
Duit banyak tu.. tp xwajarlah MB oi… Cuba buat kat pulut keta ke.. Atau Pulau ubin ke??
import daging babi.ini mengundang pelbagai penyakit