KLANG – Cubaan 27 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini gagal selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan (VNT) kelas C di perairan Sungai Besar, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada risikan ibu pejabat agensi tersebut mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 12.35 tengah malam ketika menghampiri muara Sungai Besar.

Menurut beliau, bot berkenaan enggan memberi kerjasama, menyebabkan berlaku pergelutan ketika anggota penguat kuasa cuba melakukan pemeriksaan.
“Tekong bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri namun berjaya ditahan.
“Bot berkenaan kemudiannya tersangkut kira-kira pukul 1 pagi pada jarak satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar akibat air surut,” katanya ketika sidang media di Tanjung Harapan, hari ini.
Terdahulu katanya, semua PATI bergerak dari Indonesia menuju sempadan selama dua hari, sebelum menjadikan bot itu sebagai transit untuk memasuki negara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambahnya, ejen membawa masuk PATI itu dipercayai mengenakan caj di antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk masuk ke negara ini.
”Sindiket ini dipercayai berkaitan dengan sindiket bawa masuk PATI di Indonesia,” katanya lagi.
Ujar beliau, pihaknya mendapati bot yang dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 35 hingga 59 tahun itu turut membawa 27 PATI.
Menurut Abdul Muhaimin, PATI yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh perempuan yang berumur 22 hingga 70 tahun.
“Kesemua suspek bersama bot ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), serta Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.-MalaysiaGazette
















