KUANTAN – Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang yang baru dalam barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa (AJK) PN Pahang bagi sesi 2025-2028.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat AJK yang di Pengerusikan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
Jawatan itu sebelum ini disandang Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Lt Kol (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu pula dilantik sebagai Setiausaha PN Pahang yang baharu, dibantu Nurul Qamar Abdul Latib (Bersatu) yang merupakan Ketua Pemuda PN Pahang sebelum ini.
Ketua Penerangan Pas Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya, kekal sebagai Ketua Penerangan PN Pahang dibantu dua naib ketua iaitu Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Datuk Rofaie Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Chandra Balabedha.
Naib Ketua Muslimat Pas Malaysia, Salamiah Mohd Nor juga kekal menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita PN Pahang, sementara Ketua Armada Bersatu Pahang, Muhammad Fareed Tarmizi dilantik sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.
Bagi penggal baru ini, seramai sembilan AJK PN Pahang yang dilantik iaitu Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor; Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib daripada Pas.
Selain itu, tiga wakil daripada Bersatu juga dipilih iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (Dipilih), Datuk Seri Asmawi Harun; Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Raub, Datuk Mohd Fakhrunizam Ibrahim.
Tiga wakil daripada Gerakan yang dilantik sebagai AJK PN Pahang yang baharu pula ialah Setiausaha Gerakan negeri, Raymond Cham; Geoff Chan dan William Tan.
“Pelantikan ini melibatkan gabungan tokoh berpengalaman dan tenaga muda yang berwibawa bagi memastikan aspirasi rakyat Pahang terus diperjuangkan dengan lebih berkesan,” kata PN dalam kenyataannya hari ini. – MalaysiaGazette
















