Anuwal Ab Wahab

BAYAN LEPAS – Polis sedang menjalankan siasatan mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian atau salah laku berhubung kejadian melibatkan dua kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai lemas di kolam renang sebuah premis di Bayan Baru di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di kolam renang tingkat 42 premis berkenaan dan tiada petugas berada di lokasi semasa kejadian.

Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati adik perempuan pengadu telah membawa kedua-dua mangsa ke kolam renang kira-kira jam 8.30 pagi.

“Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua mangsa berjalan dari kolam kanak-kanak ke kolam orang dewasa sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

“Pengadu kemudiannya membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Pantai Bayan Baru bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, semakan juga mendapati keluarga bercuti di negeri ini dan menginap di premis berkenaan sejak 9 Januari lalu serta dijangka pulang hari ini.

Mengulas lanjut Anuwal berkata, setakat ini seorang mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP manakala seorang lagi mangsa dilaporkan sedar dan sedang menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak hospital sama.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sebarang unsur kecuaian atau salah laku mana-mana pihak yang terlibat.

“Justeru kita menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak ketika berada di kawasan kolam renang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua budak 7 tahun nyaris lemas di kolam hotel

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua kanak-kanak berusia tujuh tahun nyaris lemas selepas dipercayai mengalami kecemasan ketika mandi di kolam renang sebuah hotel di sini.

Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak yang merupakan sepupu itu sedang mandi di kolam renang hotel berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan datang bersama keluarga masing-masing dari Kedah sejak semalam untuk bercuti di Pulau Pinang.

Sementara itu, waris kepada salah seorang kanak-kanak berkenaan enggan mengulas lanjut dan memohon ruang untuk bertenang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast