KUALA LUMPUR – Bangunan yang terlibat dalam insiden letupan kompresor penghawa dingin akan ditutup sehingga siasatan rasmi selesai.
Universiti HELP dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pemilik bangunan, dan
pengurusan bangunan untuk mengenal pasti punca insiden ini.
Insiden yang berlaku awal pagi tadi berlaku di dapur sebuah premis F&B yang terletak di Tingkat 4 salah sebuah bangunan kampus Universiti HELP di Bukit Damansara.
Menurutnya, sejurus insiden itu, pelajar dan kakitangan di kampus telah dipindahkan dengan segera mengikut protokol kecemasan. Pihak perkhidmatan kecemasan tiba tidak lama selepas dimaklumkan.
Sembilan individu mengalami kecederaan, termasuk empat pelajar dan seorang kakitangan universiti manakala orang kontraktor luar meninggal dunia.
“Kami ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati kami kepada keluarga mangsa,” katanya.
Universiti HELP berkata, keutamaannya kini memastikan kesejahteraan mereka yang terlibat dan sedang bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan untuk memastikan semua yang terjejas menerima rawatan dan bantuan yang sewajarnya.
“Kami juga turut berhubung dengan ahli keluarga mereka bagi memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan,” tambahnya.
Jelasnya, sebagai institusi yang komited menyediakan persekitaran selamat bagi pelajar dan seluruh warga kampus, Universiti HELP akan segera menjalankan pemeriksaan dalaman bagi memastikan keselamatan dan integriti bangunan lain di Kampus Bukit Damansara serta Kampus Subang
Bestari.
Sementara itu, operasi dan kelas di Kampus Subang Bestari akan diteruskan seperti biasa.
Katanya, para pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi saluran komunikasi dalaman yang telah disediakan. – MalaysiaGazette















