Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh hadir pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Hakim-hakim tidak perlu memberi maklum balas terhadap kritikan yang dilemparkan kepada badan kehakiman berkaitan keputusan sesuatu kes.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, serangan berbentuk kritikan yang disiarkan dalam laman sosial tidak wajar dijawab oleh mana-mana hakim.

“Kami hanya menjawab melalui alasan penghakiman bertulis dan kebiasaan bagi hakim untuk tidak membalas kritikan.

“Jadi apabila orang ramai ‘menyerang’ kami di internet (media sosial), kami biasanya tidak membalasnya,” kata beliau pada sidang media selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara ditanya mengenai kritikan terhadap badan kehakiman berhubung beberapa penghakiman tertentu sejak Disember lalu.

Beliau juga berkata, pengkritik seharusnya ‘membaca penghakiman bertulis’ untuk memahami keputusan mahkamah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Farid mengumumkan penubuhan Akademi Kehakiman kini di peringkat akhir bagi mendapatkan kelulusan kakitangan dan premis sementara.

Menurut Ketua Hakim Negara, akademi itu dijangka beroperasi menjelang suku pertama tahun ini.

Katanya, Akademi Kehakiman itu yang ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berfungsi sebagai pusat kecemerlangan hakim-hakim mahkamah atasan yang diluluskan Jemaah Menteri pada Ogos tahun lalu.

Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut berkata, wujud kekurangan ketara terhadap bilangan hakim mahkamah rendah dan tidak sepadan dengan jumlah dan kerumitan kes.

Ujar beliau, ketika ini terdapat 147 orang hakim Mahkamah Tinggi dan sejumlah 335 hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret.

“Antara 2021 hingga November 2025, pendaftaran kes jenayah meningkat 63.37 peratus manakala kes sivil meningkat 59.54 peratus,” katanya

Sehubungan itu, beliau berpendapat, kerajaan perlu menyelesaikan keperluan mendesak pelantikan hakim yang mencukupi bagi memastikan keadilan dapat disampaikan secara efektif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast