Dr Helmi Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) memandang serius perkembangan semasa yang memperlihatkan pertumbuhan penternakan dan eksport babi secara industri besar-besaran di negara ini.

Ia menimbulkan persoalan besar kepada integriti hala tuju ekonomi negara dari sudut syariah dan imej Malaysia sebagai negara Islam, kata Setiausaha MEH, Dr Helmi Ibrahim.

“Apakah Malaysia kini sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang dikenali bukan sahaja sebagai hab halal tetapi juga sebagai pengeluar dan pengeksport utama babi dunia?

“Justeru timbul persoalan sinis dalam kalangan rakyat dan pemerhati luar, apakah Malaysia sedang menjadi Darul Halal wal Khinzir?” sindirnya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas isu ternakan babi yang kini menjadi isu di Selangor sehingga mendapat perhatian Sultan Selangor.

Menurut Helmi, MEH berpandangan industri halal harus menjadi tulang belakang ekonomi negara dan sebarang pembangunan industri yang bercanggah dengan imej itu perlu diteliti kesannya terhadap naratif Malaysia sebagai negara Islam.

“Malaysia wajar memperkukuh sektor makanan halal bukan membesarkan industri babi yang bukan sahaja sensitif tetapi menjejaskan keyakinan komuniti Islam antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, MEH telah menampilkan MEH Halal Food Securitu Road Map 2026-2036 telah mencadangkan satu Pelan Tindakan Nasional Halal yang holistik, termasuk misi dan visi pembangunan industri makanan “dari ummah, oleh ummah untuk ummah” yang selari dengan Dasar Halal Negara yang sedang dirangka oleh Kerajaan MADANI.

“MEH menyeru agar pihak kerajaan dan pemegang taruh menilai semula keutamaan ini demi masa depan imej, maruah dan keberkatan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast