SYDNEY – Kira-kira 550,000 akaun telah disekat oleh Meta dalam beberapa hari pertama pelaksanaan larangan media sosial untuk kanak-kanak di Australia.
Australia menguatkuasakan undang baharu pada bulan Disember yang mewajibkan platform media sosial paling popular di dunia, termasuk Instagram dan Facebook menghalang rakyat Australia di bawah umur 16 tahun daripada memiliki akaun di platform mereka.
Meta berkata, pihaknya telah menyekat 330,639 akaun di Instagram, 173,497 di Facebook, dan 39,916 di Threads dalam minggu pertama pematuhan terhadap undang-undang baharu tersebut.
Syarikat itu berkata, ia komited untuk mematuhi undang-undang tersebut.
“Bagaimanapun, kami menyeru kerajaan Australia supaya berinteraksi secara konstruktif dengan industri bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih baik, seperti memberi insentif kepada seluruh industri untuk meningkatkan piawaian dalam menyediakan pengalaman dalam talian yang selamat, melindungi privasi dan sesuai dengan usia, berbanding melaksanakan larangan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Meta mengulangi gesaan terdahulu supaya gedung aplikasi diwajibkan mengesahkan umur pengguna dan mendapatkan kelulusan ibu bapa sebelum individu di bawah umur 16 tahun dibenarkan memuat turun aplikasi.
Menurut syarikat itu, ini merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan perlumbaan “whack-a-mole”, iaitu usaha berterusan untuk menghalang remaja daripada berhijrah ke aplikasi baharu bagi mengelakkan larangan tersebut.
Meta berkata, ibu bapa dan pakar bimbang larangan itu akan mengasingkan golongan muda daripada komuniti dalam talian, serta mendorong sebahagian mereka ke aplikasi yang kurang dikawal selia dan ke sudut internet yang lebih gelap.
Kesan awal perundangan tersebut “menunjukkan ia tidak mencapai objektifnya untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan golongan muda Australia”, hujah Meta.
Sambil menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan piawaian industri bagi menentukan umur dalam talian, Meta berkata, pematuhannya terhadap undang-undang Australia itu akan melibatkan “proses berlapis”. – Agensi
















