Mohamad Dziauddin beramah mesra dengan murid pada sesi hari pertama persekolahan bagi 2026 di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Kemasukan murid Tahun Satu di Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2026 mencatatkan penurunan sebanyak 2.44 peratus apabila seramai 19,705 murid mendaftar tahun ini berbanding 20,197 pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, penurunan itu bagaimanapun kecil dan berkemungkinan berkait dengan trend semasa termasuk kadar kelahiran yang lebih rendah.

Seramai 19,705 murid Tahun Satu terdiri daripada 10,147 murid lelaki dan 9,558 murid perempuan mendaftar di 271 sekolah seluruh negeri ini tahun ini sekali gus mencatat penurunan 492 orang berbanding tahun lalu.

“Manakala secara keseluruhan, seramai 230,000 pelajar dari 396 sekolah di seluruh negeri memulakan sesi persekolahan hari ini dan jumlah ini akan meningkat kepada 397 esok dengan sesi pertama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin.

“Setakat ini juga, tiada sekolah di negeri inj yang mencatatkan jumlah murid satu atau dua namun pendaftaran rendah selalunya berlaku di Sekolah Kebangsaan Pulau Aman bergantung kepada populasi setempat,” katanya.

Mohamad Dziauddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan  bagi 2026 di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini.

Bagi memastikan kelancaran hari pertama persekolahan, Mohamad Dziauddin berkata, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah ditugaskan turun ke sekolah bagi memantau serta berinteraksi dengan warga sekolah di seluruh Pulau Pinang.

“Selaras dasar Kementerian Pendidikan sejak dua tahun lalu, tiada pengajaran akademik formal dijalankan pada minggu pertama persekolahan.

“Sebaliknya, murid terlibat dalam program orientasi dan penyesuaian termasuk aktiviti bersama ibu bapa, menceriakan kawasan sekolah serta sukan ringan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Dziauddin berkata, pihak sekolah akan mula menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada murid yang layak dalam tempoh minggu pertama, memandangkan peruntukan itu telah dikreditkan ke akaun sekolah pada 8 Januari lalu.

“Langkah itu membolehkan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah menerima bantuan berkenaan secara terus pada minggu pertama persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast