KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa audit integriti dan tadbir urus bebas terhadap keseluruhan rantaian kelulusan projek ladang babi yang dirancang di Kuala Langat.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu juga perlu didedahkan secara penuh kepada orang awam, bersama-sama pelan mitigasi dan rekod penguatkuasaan.
Selain itu moratorium sementara perlu dilaksanakan ke atas projek tersebut sehingga isu pencemaran lama diselesaikan secara tuntas, selain semua pihak terlibat wajar membuat pengisytiharan konflik kepentingan.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara terbuka membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek itu.
Berdasarkan pengalaman tadbir urus, jelasnya, risiko rasuah jarang berlaku secara langsung pada dokumen EIA, sebaliknya wujud dalam keseluruhan proses kelulusan.
Tambahnya, ia termasuk pelantikan perunding, penentuan skop kajian, ketelusan data, kelulusan bersyarat tanpa penguatkuasaan berkesan, serta pengaruh politik atau kepentingan ekonomi.
“MCW tidak membuat tuduhan menyeluruh terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS) namun sekiranya masalah pencemaran bau, air dan kesihatan awam yang dilaporkan sejak 2010 masih gagal diselesaikan, maka sebarang kelulusan baharu, sama ada bersifat sementara atau kekal, adalah wajar dipersoalkan dari sudut integriti dan tadbir urus,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kontroversi rancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030 yang mendapat bantahan Sultan Selangor.
Sementara itu, Jais menegaskan, pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, ujarnya, apabila wujud persoalan rasuah, jawapannya bukan sekadar penjelasan, tetapi semakan bebas dan telus. – MalaysiaGazette
















