GEORGE TOWN – Kerajaan akan memperkenalkan bas elektrik (EV) untuk perkhidmatan Rapid Penang menggantikan bas diesel secara berperingkat sekali gus meningkatkan kualiti pengangkutan awam dan mesra alam di negeri ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebanyak 75 bas EV akan diperoleh dan dijangka beroperasi secara berperingkat bermula pada Mei ini menerusi anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn. Bhd.
“Ini akan memasuki era baharu pengangkutan awam di Pulau Pinang di mana dalam satu ke dua tahun akan datang, kita akan melihat penggantian bas-bas baharu ini tertumpu kepada bas EV.
“Ia juga merupakan satu pelaburan baharu untuk kerajaan bukan sahaja menyediakan pengangkutan awam yang selesa dan moden, tetapi juga mesra alam dengan merendahkan pengeluaran karbon.

“Selain itu, kerajaan melalui Prasarana sedang membangunkan infrastruktur pengecas EV di depoh-depoh Rapid Penang bagi memastikan operasi bas elektrik dapat dijalankan dengan lancar,” katanya pada sidang media pada Majlis Tinjauan Operasi Bas Diesel Rapid Penang di Padang Kota Lama di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas berhubung kos bagi penukaran bas tersebut, Anthony Loke berkata, harga sebuah bas EV hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding bas diesel, dengan anggaran kos kira-kira RM1.5 juta setiap bas.
Dalam perkemabangan sama, beliau menambah, Rapid Penang dijangka menerima baki 60 daripada 70 buah bas diesel bersaiz 8.9 meter secara berperingkat menjelang akhir Februari ini.
“Bas diesel ini merupakan sebahagian daripada 175 bas kumpulan akhir daripada 310 bas diesel yang diperoleh Rapid Bus sejak Julai 2025 untuk pengoperasian di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Prasarana juga bercadang menambah 170 van bagi memperluaskan perkhidmatan van Rapid Penang On-Demand, dengan proses perolehan dijangka dimulakan pada separuh kedua tahun ini selepas perkhidmatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan,” katanya. – MalaysiaGazette















