Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Kepentingan reformasi yang dilakukan kerajaan perlu mengambil kira apa yang benar-benar diharapkan rakyat bukan yang hanya cantik ‘di atas kertas’.

Mengambil contoh reformasi ekonomi, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, di atas kertas, ekonomi negara kelihatan baik dengan banyak pelaburan masuk serta mata wang dan pertumbuhan mengukuh.

Namun reformasi itu tidak disambut dengan sorakan oleh rakyat kerana majoriti mereka tidak merasainya dalam kehidupan harian, sekali gus menganggap ia sebagai agenda politik semata-mata.

Tambah bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan, situasi sama berlaku dalam reformasi paling utama iaitu kebebasan institusi penguatkuasaan.

Tegas beliau, rakyat mahu melihat pelantikan yang tepat, pendakwaan yang bebas serta keberanian kerajaan mendakwa dan memenjarakan pimpinan besar.

“(Tetapi) Dalam masa yang sama, persepsi rakyat tentang usaha lawan rasuah makin teruk. Dulu yang risau pasal rasuah kecil sahaja.

“Lepas dua tahun lebih, kebimbangan itu naik berkali ganda. Ini bukan sebab rakyat tiba-tiba jadi sensitif.

“Ini sebab mereka nampak corak. Ada kes besar yang didakwa sekejap. Lepas itu senyap. Ada yang jadi DNAA. Ada yang akhirnya dilepaskan terus,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Rafizi, apabila corak itu berulang, kesan pengumuman reformasi oleh kerajaan seperti penggubalan akta mengehadkan jawatan Perdana Menteri hanya kepada dua penggal; kebebasan maklumat (FOI) dan Ombudsman menjadi nipis.

Ujarnya, rakyat akan menilai usaha reformasi itu hanyalah rundingan dalam kerajaan, dengan `satu pihak dapat pengumuman, satu pihak dapat kes selesai’.

“Selagi bahagian paling asas itu tak berubah iaitu penguatkuasaan yang benar-benar bebas dan konsisten, angka makro susah nak jadi keyakinan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast