Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Al-Hafizi Abu Bakar

KUALA LANGAT – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu penternakan babi di sekitar Tanjong Sepat di sini.

Ketuanya, Al-Hafizi Abu Bakar berkata, aktiviti penternakan babi di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat di sini menjejaskan kualiti hidup, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar sejak sekian lama.

“Masalah bau melampau, pencemaran sungai, pembiakan lalat dan risiko penyakit masih berlarutan, sekali gus mencerminkan kegagalan kawal selia dan penguatkuasaan.

“Keadaan ini tidak boleh terus ditoleransi atas alasan kepentingan industri atau ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette semalam.

Semalam, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di sekitar Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat, di sini dijadualkan bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda bertitah, projek penternakan babi berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di Selangor yang majoritinya dalam kalangan orang Melayu Islam.

Selaras dengan titah Seri Paduka itu, Al-Hafizi menegaskan, kesejahteraan rakyat tidak boleh dikorbankan dan pihaknya menuntut pembetulan dasar dengan kadar segera dan berasaskan bukti.

“Semua peluasan dan kelulusan ladang baharu mesti dihentikan serta-merta manakala kawasan sedia ada perlu dipindah atau distrukturkan ke zon khas yang jauh daripada penempatan, sekolah, masjid dan sumber air,” katanya.

Selain itu, katanya, semua ladang wajib menggunakan sistem tertutup sepenuhnya, rawatan sisa berteknologi tinggi serta kawalan bau dan efluen zero-discharge.

“Operasi ladang yang gagal mematuhi piawaian ini wajar ditutup,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menubuhkan pasukan pemantauan bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan wakil komuniti.

“Kerajaan perlu mewajibkan audit alam sekitar secara berkala serta tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan yang merosakkan alam dan menindas komuniti tempatan adalah tidak beretika dan tidak mampan.

“Kerajaan negeri mesti bertindak tegas selari dengan titah Tuanku demi memulihkan maruah, kesihatan dan keharmonian rakyat Kuala Langat.

“Pemuda UMNO Kuala Langat menegaskan kepentingan awam mengatasi kepentingan industri. Kerajaan negeri harus segera mengambil tindakan serius bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast