Noor Azman Rahman.

KUALA LUMPUR – Pengadil perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), S. Logeswaran dan pengadil VAR, Muhd Usaid Jamal dirujuk kepada fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu untuk memperbaiki prestasi.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, tindakan itu hasil penilaian FAM yang mendapati terdapat beberapa keputusan kurang tepat dilakukan Logeswaran dan Muhd Usaid pada perlawanan yang berlangsung pada 9 Januari lalu  khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 (Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan).

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah meneliti Laporan Penilai Pengadil seterusnya menilai prestasi pegawai perlawanan tersebut secara menyeluruh, termasuk analisis terhadap insiden-insiden utama yang berlaku sepanjang perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azman berkata, Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Penilaian Prestasi telah menghantar surat rasmi kepada semua pegawai perlawanan termasuk Penilai Pengadil yang terlibat untuk menghadiri sesi Postmatch Debriefing di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 15 Januari ini.

Jelasnya, objektif utama sesi tersebut adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan.

“FAM tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi yang lemah untuk bimbingan dan pemulihan prestasi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast