TOKYO – Ai, seekor cimpanzi betina yang terkenal dengan kebolehan kognitifnya, telah meninggal dunia pada usia 49 tahun, menurut institut di Jepun.
Pusat Asal-usul Evolusi Tingkah Laku Manusia, Universiti Kyoto, memaklumkan, Ai meninggal dunia pada 9 Januari akibat faktor usia tua dan kegagalan organ.
Ia dikelilingi oleh kakitangan ketika menghembuskan nafas terakhir.
Ai dilahirkan di Afrika Barat dan tiba di institut Jepun itu pada tahun 1977. Di situ, beliau menjadi nama bagi Projek Ai, sebuah program penyelidikan mengenai “minda cimpanzi”.
Antara penemuan penting institut tersebut ialah keupayaan Ai menggunakan nombor dan mengenal pasti warna.
Penyelidik memberikan Ai papan kekunci khas yang disambungkan kepada komputer ketika usianya 18 bulan, satu kaedah yang digunakan untuk mengkaji memori dan pembelajarannya.
Pada usia lima tahun, Ai “menguasai penamaan nombor dari satu hingga enam serta mampu menamakan nombor, warna dan objek bagi 300 jenis sampel”, menurut satu kertas saintifik pada tahun 1985 oleh Tetsuro Matsuzawa, pakar primatologi di sebalik Projek Ai.
Apabila tidak terlibat dalam ujian kognitif, Ai gemar melukis dan mewarna.
Seperti cimpanzi lain di pusat tersebut, Ai akan melakar menggunakan pen penanda di atas kertas kosong tanpa perlu diberi ganjaran makanan.
Media Jepun, Kyodo News melaporkan, Ai pernah melarikan diri bersama seekor primat lain dengan menggunakan kunci untuk membuka sangkarnya.
Pada tahun 2000, Ai melahirkan seekor anak jantan bernama Ayumu, yang juga terkenal dengan keupayaan memorinya yang luar biasa.
Pada tahun 2017 sempena ulang tahun ke-40, Projek Ai sehelai skarf yang diperbuat daripada salah satu lukisan Ai telah dihadiahkan kepada pakar primatologi terkenal, Dame Jane Goodall. – Agensi
















