JOHOR BAHRU – Anggota polis yang menampar seorang lelaki disyaki mat rempit di sebuah stesen minyak di Taman Perling di sini kelmarin adalah tindakan spontan selepas mangsa cuba melarikan diri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan ketika kejadian anggota polis berpangkat konstabel itu sedang dalam penugasan operasi motosikal di kawasan sekitar.
Jelasnya, walaupun anggota berkenaan sedang bercuti, berdasarkan rekod, dia dipanggil bertugas pada hari kejadian untuk membantu operasi yang dijalankan bertujuan membanteras aktiviti mat rempit.
“Sebenarnya, satu operasi trafik sedang dijalankan iaitu Ops Motosikal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
“Ketika kejadian, dia cuba menahan motosikal mangsa tetapi mangsa cuba melarikan diri, mungkin ia tindakan spontan sehingga berlaku kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurut Ab Rahaman, laporan polis pertama dibuat oleh pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian tampar itu dalam media sosial sebelum laporan polis diterima daripada mangsa sendiri pada malam hari kejadian.
Polis, katanya, sudah menjalankan siasatan dan membuka kertas kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan akan terus menjalankan siasatan.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan dan kemudian akan merujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Ab Rahaman berkata, seramai empat individu sudah dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk saksi dan anggota polis yang terbabit dengan insiden berkenaan.
Katanya, beberapa orang lagi saksi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan pada masa sama sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian.
Ditanya mengenai sama ada anggota polis terbabit sedang digantung tugas, Ab Rahaman berkata, lelaki itu masih bekerja namun tidak dibenarkan melakukan tugas-tugas operasi.
“Tidak digantung tugas dan tidak ditahan reman. Setakat ini, dia menjalankan tugas seperti biasa. Kita tidak boleh menahan tugasnya kerana kita belum dapat arahan untuk mendakwanya di mahkamah.
“Kita ada proses dan peraturan untuk menahan tugas seseorang polis, biasanya apabila ada keterangan terbukti untuk pendakwaan di mahkamah,” ujarnya.
Cuma, katanya, anggota polis yang terbabit ini tidak akan menjalankan tugas operasi sehingga siasatan kes itu selesai.
Ab Rahaman berkata, anggota polis terbabit berusia 20-an mula bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022.- MalaysiaGazette
















