MELAKA – Niat seorang pemuda untuk memeriksa bau busuk yang disangka bangkai kucing membawa kepada penemuan dipercayai mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta di kawasan parkir di MITC, Ayer Keroh di sini tengah hari tadi.
Saksi, Khairul Ikhwan Abdol Sham, 24, berkata, kejadian jam 1.30 tengah hari disedari ketika dia baru selesai makan di restoran di seberang parkir hadapan Perbadanan Melaka (MCORP), MITC, Ayer Keroh.

“Ketika sedang menghampiri kereta yang diparkir di hadapan sebuah kereta jenis Nissan Almera itu, saya terhidu bau busuk dari arah kereta berkenaan.
“Pada awalnya, saya ingat bau bangkai kucing sebelum menjenguk ke dalam kenderaan itu yang dalam keadaan tayar sudah pancit dan enjin sudah mati,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Menurutnya, dia kemudian cuba meninggalkan nota kepada pemilik kenderaan untuk memaklumkan tayar kereta yang sudah pancit.
“Bila saya jenguk dalam kereta, nampak macam bantal di tempat duduk pemandu tapi bila diamati betul-betul rupanya seperti mayat
“Kulit mangsa pula sudah dah gelap dan berbau kuat, seperti sudah lama meninggal dunia dalam keadaan kepalanya telangkup pada stereng.
“Saya turut nampak ada beberapa keping gambar seorang lelaki bersama seorang wanita di dalam kereta namun tidak pasti adakah ia mangsa kejadian ,” tambahnya.
Menurut Khairul, dia kemudian segera menghubungi polis memaklumkan kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette















