KUALA LUMPUR – Perbahasan mengenai konflik politik di Perlis sama ada ia perbuatan khianat atau sebaliknya tidak perlu lagi dipanjangkan di dalam medan terbuka.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perkara itu sudah dibahaskan terlalu panjang sebelum ini dan Pas juga telah mengambil sikap move on.
Buktinya, menurut beliau, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baharu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bahkan Pas turut menyokong Kerajaan Negeri Perlis yang baharu agar fungsi kerajaan negeri dan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan.
“Itu semua bukti Pas telah move–on walaupun luka masih ada. Usah lagi ditoreh dengan luka yang lain. Jangan ada lagi gunting dalam lipatan.
“Sekarang masa untuk alihkan senjata kepada musuh yang sebenar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu mengkhianati Pas dalam krisis politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar sebelum ini daripada Pas, Mohd Shukri Ramli.
Menurut Muhyiddin, beliau mendapat penerangan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi berhubung perkara itu dan pihak di Perlis menyatakan mereka tidak terbabit.
Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, Pas menghormati keputusan mesyuarat MPT Bersatu semalam yang menerima pendirian Muhyiddin untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, pendirian itu mempermudahkan proses peralihan kepimpinan di dalam PN yang akan diputuskan kelak, selain menghormati pendirian Bersatu untuk kekal sebagai rakan dalam PN.
“Lagi pun, bak kata seorang tokoh pujangga yang hebat sehari dua ini, hormat menghormati amalan mulia,” katanya. – MalaysiaGazette















