MELAKA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam satu kejadian letupan ketika kerja-kerja kimpalan di sebuah premis kitar semula di Taman Perindustrian Bukit Rambai, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki tempatan berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami melecur kira-kira 90 peratus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, seorang lagi lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan melecur lima peratus.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, menerima panggilan kecemasan secara talian terus ke balai pada jam 1.32 tengah hari sebelum jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di tempat kejadian, didapati berlaku letupan melibatkan alat kimpalan jenis cranking unit (CRU) ketika kerja-kerja kimpalan sedang dijalankan di dalam kawasan premis.
“Mangsa, lelaki tempatan berusia 44 tahun yang parah selepas melecur 90 peratus disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, tiada kebakaran berlaku di premis berkenaan dan kejadian hanya melibatkan letupan, dengan kedua-dua mangsa terkesan secara langsung akibat hentaman dan haba daripada insiden tersebut.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.27 petang manakala punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















