Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru sebulat suara memutuskan demikian dan memerintahkan Najib membayar kos RM12,000.

Mahkamah berpuas hati, tindakan bagi salah laku dalam jawatan, penyalahgunaan proses dan kecuaian adalah jelas pramatang memandangkan kes jenayah belum bermula ketika saman tersebut difailkan.

Oleh yang demikian, panel berpendapat, tort penyalahgunaan proses tidak wujud ketika itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November 2022 yang membatalkan saman beliau terhadap Tommy.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan saman tersebut pada 22 Oktober 2021 yang mendakwa Tommy menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwa beliau berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Ravinthran juga berkata, Mahkamah Tinggi telah mendapati Tommy mempunyai kekebalan dan tindakan beliau tidak boleh diadili.

“Berhubung isu kekebalan dan kebolehadilan, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara berhubung saman sivil yang difailkan terhadapnya secara peribadi.

“Kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai kerana terdapat kes jenayah yang menyaksikan budi bicara Peguam Negara telah dicabar,” katanya.

Menerusi saman itu, Najib mendakwa Tommy telah bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Tommy telah melakukan tort salah laku dalam jawatan awam.

Tommy berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.

Najib juga menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta yang merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.

Najib diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Firoz Hussein berkata, beliau akan mendapatkan arahan daripada Najib sama ada untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast