Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Gombak menyambut seruan supaya parti itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Pemudanya, Abu Ubaidah Abdullah berkata, pihaknya sedia berhadapan mana-mana parti di kerusi tersebut apatah lagi pihak yang berani tanpa hormat mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tegas beliau, ahli-ahli Pemuda Pas Gombak juga menyelami denyut nadi dan pandangan ahli khususnya di Gombak Setia yang merasai jerih perih untuk memaknakan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu pada PRU-15 tanpa sentuhan serta kebersamaan ahli dewan yang dilantik dan menang pilihan raya.

“Tidak sekadar itu, isu-isu yang terpalit pada ahli dewan dan pembantunya juga cukup memilukan petugas-petugas. Ahli-ahli Pas Gombak Setia yang begitu ikhlas ingin melihat kemenangan PN demi kebaikan masyarakat Gombak Setia dan negeri Selangor tercinta amat berharap agar DUN Gombak Setia dipimpin oleh individu yang berwibawa dan mulia akhlaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berpandangan parti itu wajar bertanding di DUN Gombak Setia yang kini disandang Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham.

Pada PRU-15, Muhammad Hilman menang kerusi itu dengan majoriti tipis 58 undi.

Muhammad Hilman sebelum ini mencetuskan kemarahan ahli-ahli Pas berikutan kenyataan meminta semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Ia selepas Abdul Hadi mengusulkan supaya mesyuarat tergempar MT PN dipanggil segera bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN, termasuk pelantikan baharu jawatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast