Anggota penguat kuasa DBKL menyita barang jualan peniaga warga asing tanpa lesen sah di Pasar Borong Kuala Lumpur. Gambar: FB DBKL

KUALA LUMPUR – Kegiatan perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur masih berlarutan meskipun sering dikenakan tindakan mendorong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan di kawasan berkenaan.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi penguatkuasaan harian telah dijalankan di sekitar Jalan 1/3A dan Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur bermula 5 hingga 11 Januari 2026.

Menurut DBKL, pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh dilakukan terhadap pelbagai aktiviti perniagaan termasuk premis borong, restoran makanan serta penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang didapati beroperasi tanpa lesen, melanggar syarat lesen, dikendalikan warga asing serta menyebabkan halangan di kawasan awam.

“Pemantauan turut dijalankan ke atas kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur sehingga menghalang aliran trafik di kawasan tumpuan aktiviti perniagaan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Hasil operasi berkenaan, DBKL mengeluarkan enam notis kompaun terhadap enam aktiviti perniagaan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, selain satu notis kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Selain itu, sebanyak 10 notis kompaun turut dikeluarkan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

DBKL turut melaksanakan 21 tindakan sitaan dan pemindahan barangan perniagaan melibatkan barangan basah seperti ikan, ayam dan udang, selain sayur-sayuran, buah-buahan serta peralatan perniagaan daripada aktiviti perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing.

Anggota penguatkuasa DBKL menyita barang jualan peniaga warga asing tanpa lesen sah di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Semua barangan sitaan telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi,” menurut kenyataan itu.

DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenal pasti bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi DBKL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast